Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Kampar. Foto ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


LELAKI ditemui mati dipercayai dibunuh rakan sekerja di sebuah kebun betik di Kampung Tanjung Bangkong, Malim Nawar, hari ini.

SP Baik Sang Nawl, 35, warga Myanmar yang juga pekerja kebun terbabit dijumpai pada 10.30 pagi dalam keadaan terbaring berlumuran darah di atas katil di sebuah rumah di kebun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, mayat lelaki itu ditemui oleh seorang lelaki berusia 60-an yang juga majikannya yang datang ke kebun berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh daripada majikan mangsa, warga asing itu tinggal dan bekerja bersama seorang rakan senegara di kebun betik seluas 2 hektar terbabit.

“Mangsa ditemui dengan beberapa kesan luka pada muka dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

“Siasatan di lokasi kejadian turut menemui sebatang kayu di bawah katil tempat mangsa ditemui dengan kesan darah dipercayai senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa,” katanya.

Menurutnya, rakan sekerja mangsa yang juga lelaki berusia 50-an itu bagaimanapun dipercayai sudah melarikan diri dan disyaki suspek utama dalam kes terbabit.

“Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian menemui telefon bimbit dan dompet mangsa selain tin bir.

“Majikannya juga melihat kedua-dua pekerja warga asing itu keluar ke pekan dipercayai untuk minum minuman keras kira-kira 5 petang semalam,” katanya.

Ng berkata, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan dan berusaha mengesan rakan sekerja mangsa.

“€œMangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh kurang 12 jam sebelum ditemui dan mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 3:47 PM