Anggota polis memeriksa mayat Muhammad Ridzuan yang dirempuh Mitsubishi ASX (kiri sekali). (Gambar kecil) Muhammad Zamir Eizlan meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Lencongan Timur. FOTO Omar Osman.
Omar Osman
am@hmetro.com.my


EMPAT lelaki berusia 18 hingga 21 tahun termasuk seorang warga Vietnam meninggal dunia manakala seorang cedera dalam tiga kemalangan berasingan di Sungai Petani dan Gurun.

Kejadian pertama berlaku di Jalan Lencongan Timur, Sungai Petani, 9.45 malam semalam membabitkan pekerja kilang, Mohammad Ridzuan Zambri, 18, dan warga Vietnam yang belum dikenal pasti identiti selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi ASX.

Pada 4.10 pagi tadi, Muhammad Zamir Eizlan Mohd Joned, 19, yang juga anak anggota polis meninggal dunia akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Jalan Lencongan Timur, berhampiran Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, pada 8.05 pagi tadi, berlaku satu lagi kemalangan maut di Jalan Bukit Kuang, Gurun membabitkan pekerja kilang, Mohd Sahrolnizam Romle, 21, selepas motosikalnya terbabas dan merempuh tiang elektrik.

“Kemalangan pertama membabitkan Mitsubishi ASX dan dua motosikal yang datang dari arah Bukit Bayan menuju ke Bandar Sri Astana.

“Tiba di lokasi, Mitsubishi ASX itu dipercayai melanggar belakang motosikal ditunggang warga Vietnam menyebabkan mangsa tercampak ke longkang di kiri jalan,” katanya hari ini.

Menurut beliau, Mitsubishi ASX itu yang hilang kawalan kemudiannya merempuh Yamaha LC135 ditunggang Mohammad Ridzuan menyebabkannya tercampak di atas jalan.

“Akibatnya, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi manakala pemandu Mitsubishi ASX berusia 34 tahun selamat.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat,” katanya.

Pada kemalangan kedua, mangsa, Muhammad Zamir bersama Najmi Nazri, 18, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Ria Jaya.

“Mereka datang dari arah lampu isyarat Lencongan Timur menghala ke lampu isyarat Ambangan Height.

“Tiba di lokasi, motosikal ditunggang Muhammad Zamir terlanggar motosikal Najmi menyebabkan kedua-duanya terbabas ke bahu jalan.

“Muhammad Zamir meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala manakala Najmi cedera di belakang badan dan dirawat HSAH,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan ketiga pula dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh tiang elektrik di kiri jalan.

“Mangsa, Mohd Sahrolnizam ketika itu dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Gurun Jaya untuk ke tempat kerja di Kawasan Perindustrian Gurun.

“Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 3:47 PM