SAMPAH-SARAP yang terdampar di Pantai Batu Buruk berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku sejak beberapa hari lalu.
HM Digital

Kuala Terengganu: Pemandangan di Pantai Batu Buruk sejak tiga hari lalu, tak ubah seperti tongkang pecah apabila dicemari ranting, daun dan sampah di sepanjang pantai.

Keadaan itu turut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengunjung dan peniaga di kawasan tumpuan ramai berkenaan.

Difahamkan, sampah berkenaan dibawa ombak ketika kejadian air pasang malam Khamis lalu, namun sehingga semalam, belum ada pihak membersihkan pantai itu.

Peniaga, Sazali Mustafa, 35, berkata, lambakan sampah itu harus diuruskan segera kerana ia menjejaskan pemandangan selain imej bandar raya ini.

“Pantai ini kawasan yang terkenal dan boleh dikatakan jika ada orang luar datang ke Kuala Terengganu, pasti tidak lepaskan peluang ke sini.

“Kerana itu, amat penting untuk pihak berwajib menyelesaikan segera masalah sampah ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Batu Buruk di sini, semalam.

Menurutnya, berikutan rasa tanggungjawab untuk mengekalkan keindahan pantai, dia turut membersihkan sampah di kawasan berhampiran gerainya.

“Bagaimanapun, saya hanya dapat bersihkan sampah di kawasan berdekatan dengan gerai saja kerana sibuk berniaga,” katanya.

Bagi pengunjung, Arlina Mohd Asri, 23, dari Kampung Tasek, Bukit Payong, Marang, agak menghairankan sekiranya perkara itu belum sampai ke pengetahuan pihak berwajib kerana sudah beberapa hari ia berlaku.

“Tolonglah bersihkan segera, saya sebagai orang tempatan pun sakit mata tengok, apatah lagi jika ada orang luar datang ke sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 6:32 AM