BASIKAL yang ditunggang mangsa dalam kemalangan di Kilometer 30 Jalan Selandar- Kesang, Jasin. FOTO Nur Saliawati Salberi, Ihsan PDRM
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


LELAKI warga emas maut selepas basikal ditunggangnya dirempuh lori, dalam kejadian di Kilometer 30 Jalan Selandar- Kesang, Jasin, semalam.

Kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa Kasim Saleh, 80, parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa parah pada beberapa bahagian badan termasuk dada, sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.30 petang.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang awalnya mengayuh basikal ke arah Selandar, dipercayai berpusing balik," katanya.

Arshad berkata, lori muatan sayur yang kebetulan melalui lokasi kejadian dipercayai tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran.

"Pemandu lori berusia 36 tahun tidak mengalami kecederaan dan polis sudah merakam keterangan.

"Bagaimanapun, polis memohon saksi awam yang melihat kejadian untuk tampil memberi maklumat selain kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 12:38 PM