Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


AWAK-awak dikhuatiri lemas selepas bot nelayan dinaiki, karam dipukul ombak di perairan Tanjung Gemok, di kedudukan 4 batu nautika dari Pulau Layak, Rompin, kelmarin.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, tekong bot dan lima awak-awak dikatakan bertindak terjun sebelum bot dinaiki mereka tenggelam.

Bagaimanapun lima daripada mereka berjaya diselamatkan kumpulan nelayan lain yang berada berhampiran lokasi kejadian, manakala seorang rakan mereka dilaporkan hilang dan gagal dikesan.

Timbalan Pengarah Wilayah Maritim Timur (Operasi), Kapten Maritim V Pannir Selvan berkata, pihaknya menerima maklumat dari Balai Polis Rompin kira-kira 9 pagi semalam memaklumkan mengenai kejadian.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa Che Mohd Arif Che Hussin, 38, sedang dijalankan termasuk meluaskan kawasan sektor pencarian.

“Bot Maritim Kilat 14 turut digerakkan ke lokasi pencarian. Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu oleh Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Hingga kini mangsa masih belum dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan media, di Kuantan hari ini.

Beliau menasihatkan nelayan yang turun ke laut supaya merujuk kepada pihak berkuasa selain perlu memastikan peralatan keselamatan dalam keadaan lengkap bagi mengelakkan sebarang masalah atau kemalangan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 11:39 AM