ISMAIL (empat dari kanan) meluangkan masa melihat pameran kesedaran alam sekitar sempena Persidangan Antarabangsa Eco-School ke-6 anjuran WWF Malaysia.
Shaiffulazhar Misri
am@hmetro.com.my

Melaka: Malaysia dijangka menghasilkan 30,000 tan bahan buangan menjelang 2020.

Hal itu disuarakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang bimbang dengan kadar penghasilan sampah di negara ini.

Beliau berkata, pelbagai usaha perlu dijalankan terutamanya program kesedaran kepada generasi muda.

“Kita harus akui bahan buangan ini menjadi tekanan kepada permasalahan persekitaran dan dalam hal ini, semua individu terlibat. Kita sudah melakukan pelbagai usaha dan kempen terutamanya membabitkan generasi muda demi memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Pada masa depan, generasi inilah yang akan memimpin negara dan kita harap pelbagai usaha yang diterapkan ini mampu menjana nilai kemanusiaan terhadap ekosistem bumi,” kata Wan Junaidi dalam teks ucapan dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Alam Sekitar, Ismail Ithnin, ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Eco-School keenam anjuran World Wide Fun For Nature (WWF) Malaysia di Hotel Melaka Sentral Riverview, di sini, semalam.

Pada program itu, 71 peserta dan 27 guru dari pelbagai sekolah di Thailand, Singapura, dan Malaysia berkumpul pada Persidangan Antarabangsa Eco-School Ke-6 Anjuran World Wide Fun For Nature (WWF) Malaysia yang berlangsung di Melaka Sentral Riverview Hotel, di sini, bermula kelmarin hingga hari ini.

Seorang peserta, Vetinee Suebnukarn, 17, dari Thailand menyifatkan penyertaan kali pertamanya itu, bertujuan mengetahui impak yang bagus dalam pemeliharaan alam semulajadi dari beberapa negara yang terlibat.

“Sekolah saya sudah menjadi eco-school sejak dua tahun lalu dan saya difahamkan Malaysia sudah melaksanakannya lebih awal. Saya bersama seorang lagi rakan dari Sekolah Persendirian Rajinibon, sebagai sebahagian wakil Thailand di persidangan ini menerima pelbagai manfaat dalam pemelihara dan pemuliharaan alam semulajadi.

“Kami juga datang ke sini untuk menambah pengetahuan dengan eberkongsi pandangan dalam kalangan peserta dari berlainan negara dan ia amat membantu dalam persediaan akan datang. Kami menggunakan kaedah ‘brainstorming’, pembentangan, perbualan dan sebagainya untuk mendapatkan ilmu bagi memastikan alam kita kekal hijau,” kata Vetinee.

Peserta dari Singapura, Ananya Mathur, 13, yang bersekolah di Global Indian International School East Coast, berkata, persidangan selama dua hari itu memberikan pelbagai idea dalam menerapkan nilai 4R dalam kehidupan seharian.

“Dalam kehidupan seharian, kita diterapkan dengan kaedah 4R iaitu Reduce, Reuse, Recycle, Recover, bagi memastikan kadar pembuangan sisa pepejal dapat diminimakan. Meskipun tidak dapat mengurangkan bahan buangan seratus peratus, masyarakat harus mengambil peranan sebagai langkah awal menyelamatkan flora dan fauna bumi kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 2:16 AM