MOHD Marngi (tengah) bersama keluarga selepas majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2017, semalam.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lelaki ini mengalirkan air mata gembira tatkala namanya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Kategori Individu.

Kemenangan Mohd Marngi Wasim, 63, dibantu ketabahan dan pengalamannya ketika mengendalikan jenazah mangsa penerbangan MH17 di Belanda yang masih diingatinya sehingga kini.

“Saya berada di sana selama 33 hari dan sudah tentu kesedihan menyelubungi semua umat Islam terutama ahli keluarga mangsa penerbangan MH17.

“Ada seorang suami bersungguh-sungguh minta kebenaran untuk melihat wajah isterinya buat kali terakhir, tapi kami tidak dapat menunaikan permintaannya serta waris lain kerana keadaan mayat kebanyakannya tidak sempurna.

“Ia satu pengalaman berharga dan memberi peringatan kepada kita semua betapa dekatnya kematian dan dalam situasi yang tidak terjangka,” katanya yang ditemui di Kompleks Pusat Islam di sini, semalam.

Beliau turut berharap golongan muda pada zaman ini mengambil peluang mempelajari ilmu menguruskan jenazah.

“Walaupun mereka belajar untuk diri sendiri, ia adalah penghormatan terakhir tanda kasihnya seorang anak kepada kedua-dua ibu bapa,” katanya.

Beliau antara lima penerima anugerah berkenaan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2017 yang diumumkan, semalam.

Penerima Anugerah Maulidur Rasul Kategori Individu menerima plak, sijil penghargaan dan wang tunai RM3,000 setiap seorang.

Bagi Anugerah Khas Organisasi kategori Masjid Terbaik, Surau Terbaik, Surau Jumaat dan Surau PPR, masing-masing menerima plak, sijil penghargaan dan wang tunai RM1,000.

Hadiah disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Abdul Aziz Jusoh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 2:12 AM