Sebahagian pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka. Gambar kecil gelagat seorang wanita yang cuba mengelak daripada ditahan. FOTO Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


SERAMAI 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri dalam Ops Ikrar yang dilancarkan di tiga lokasi di Melaka, semalam.

Dalam operasi jam 9 malam hingga 3 pagi itu, semua PATI terbabit ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Penolong Pengarah Imigresen (Ketua Bahagian Penguatkuasaan) Nar Azman Ibrahim berkata, 12 PATI termasuk seorang wanita Indonesia bersembunyi di bawah kotai dikesan ketika anggotanya melakukan pemeriksaan di tapak pembinaan di Jalan Pulau Sebang/Tampin, Alor Gajah, jam 12 tengah malam.

Menurutnya, selain tapak binaan itu, pihaknya turut memeriksa beberapa rumah kedai di kawasan IKS Selandar dan sebuah kilang kotak di Jasin.

“Secara keseluruhan, kita memeriksa 218 orang dan hanya 29 ditahan kerana tidak memiliki pas lawatan sah. Semua yang ditahan berusia 25 hingga 40 tahun terdiri 16 warga Indonesia termasuk tiga wanita dan 13 lelaki Bangladesh,” katanya.

Katanya, tujuh daripada PATI terbabit dikesan melanggar syarat pas permit dan akan didakwa mengikut Seksyen 39b, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, 13 lagi masuk dan tinggal di negara ini tanpa permit sah dan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 serta sembilan lagi tinggal di negara ini selepas tamat permit yang didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c), akta sama.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke pejabat JIM negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ayer Keroh untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 4:57 PM