Mary Yap (tiga dari kiri) pada Majlis Penutup ELP Siri 2 di Putrajaya hari ini.
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi komited menerapkan keusahawanan dalam pentadbiran pendidikan tinggi di negara ini menerusi penganjuran Program Pemimpin Keusahawanan (ELP) membabitkan penyertaan kakitangan akademik dan profesional universiti awam serta swasta.

Program memasuki siri dua berlangsung di sini, bermula 2 Disember hingga hari ini diadakan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Swanea University, United Kingdom membabitkan 70 penyertaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata, program berkenaan bertujuan meningkatkan kompetensi keusahawanan pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) supaya mampu melaksana dan menguruskan strategi lebih pro keusahawanan dalam kepimpinan mereka bagi memenuhi keperluan pembangunan bakat juga tenaga kerja negara.

“Ia berupaya menjadi pemangkin kepada pelaksanaan inisiatif keusahawanan di IPT tempatan bagi kesan jangka panjang untuk melahir dan membangunkan insan berkualiti serta menyumbang kepada pembangunan negara.

“Pelaksanaannya adalah selari dengan aspirasi penuntut dan aspirasi sistem di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

“Ia juga selari dengan objektif Pelan Tindakan Keusahawanan (IPT) bagi memupuk minda keusahawanan bagi melahirkan graduan holistik dan seimbang serta mampu bertindak sebagai penjana pekerjaan,” katanya berucap pada Majlis Penutup ELP Siri 2 di Putrajaya hari ini.

Pada majlis itu, 70 kakitangan akademik dan profesional menerima Sijil Eksekutif Keusahawanan ELP Siri Dua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 4:08 PM