Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


DUA penuntut wanita Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang dikesan positif tuberkulosis (Tibi) atau batuk kering kini dipantau Pusat Kesihatan UTM serta menjalani pemeriksaan berkala bagi menilai perkembangan semasa mereka.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof Dr Durrishah Idrus berkata, sebelum itu, dua penuntut prasiswazah tempatan itu sudah dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menjalani ujian saringan.

"Dua penuntut ini sudah dirujuk ke HSA selepas pemeriksaan rutin mendapati mereka positif Tibi.

"Mereka dimasukkan ke HSA untuk saringan dan dibenarkan kembali ke UTM bagi meneruskan pengajian sambil menjalani rawatan yang dibekalkan oleh hospital," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan tiada penuntut lain yang dijangkiti, Pusat Kesihatan UTM akan mengadakan saringan terhadap mereka yang berhubung secara rapat dengan pesakit terutamanya di fakulti dan rakan sebilik di asrama.

"Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana pesakit Tibi ini akan sembuh dengan mengambil ubat secara berterusan dan pengawasan secara dekat oleh Pusat Kesihatan UTM," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan semua penuntut berada pada tahap kesihatan yang baik, UTM mengambil langkah proaktif dengan membuat saringan terhadap semua penuntut.

Pihak UTM menasihatkan penuntut yang batuk berkahak lebih dua minggu dan demam terutamanya pada sebelah malam saja supaya membuat pemeriksaan di Pusat Kesihatan UTM.

Semalam, dua penuntut berusia 20-an itu dikesan menghidap Tibi dan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dan Kulai masih menjalankan siasatan sebelum memulakan saringan pada minggu depan.

Berita berkaitan

Dua penuntut UTM hidap batuk kering

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 4:06 PM