SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Tengku Amir Shah berkenan menghadiri Majlis Bacaan Tahlil Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor ke 72 dan Solat Jumaat di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong. Turut hadir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO Roslin Mat Tahir
Faliq Lajim
hmetroshahalam@hmetro.com.my


SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam, sempena sambutan ulang tahun hari Keputeraan baginda yang ke-72.

Baginda tiba di masjid itu pada 12.30 tengah hari diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah;

adinda baginda, Tengku Panglima Besar Selangor Tengku Abdul Samad Shah.

Sultan Sharafuddin kemudian berkenan bersama membaca Yasin dan doa selamat yang diketuai Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Baginda dan kira-kira 2,000 jemaah lain kemudian mendengar khutbah khas bertajuk 'Raja dan Rakyat, Berpisah Tiada' sebelum menunaikan solat Jumaat.

Selepas itu, baginda meluangkan masa bersalam dengan para jemaah selepas solat Jumaat di masjid berkenaan sebelum berangkat pulang pada 2.30 petang.

Semalam, Sultan Sharafuddin berkenan menyempurnakan Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat di Balai Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda akan berlangsung di di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang pada Isnin depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 3:53 PM