Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof menunjukkan ganja dirampas. FOTO Mohd Hasbi Sidek.
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


IBU Pejabat Daerah (IPD) Kajang menahan 12 suspek termasuk empat penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan merampas 4.9 kilogram ganja dianggarkan bernilai RM12,000 pada lima serbuan berasingan sejak 2 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof berkata, serbuan pertama di sebuah hotel di Beranang dekat sini, 2 Disember lalu membawa kepada penahanan tiga lelaki.

“Pada serbuan itu, kami turut merampas ganja seberat 36.62 gram sebelum membuat tangkapan susulan pada 4 dan 5 Disember di Semenyih serta Sepang.

“Semua suspek berusia 20 hingga 26 tahun dan seorang daripada empat penuntut IPTS yang ditahan adalah wanita,” katanya pada sidang media di IPD Kajang, hari ini.

Menurut beliau, rangkaian terbabit memasarkan ganja dalam IPTS dan aktif sejak setahun lalu.

“Semua suspek positif ganja dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 11:35 AM