A RAHMAN (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam kerana melakukan khianat dengan merobohkan dinding kedai makan milik bekas isterinya pada September tahun lalu.

Tertuduh, A Rahman Ibrahim, 62, dari Kampung Beladau Selat, di sini, mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merobohkan dinding bahagian hadapan kedai hingga menyebabkan pemilik, Cik Hasyati Mansor, 44, menanggung kerugian RM500.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kedai makan di Kuala Ibai jam 8.30 malam pada 4 September 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 14 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, mangsa yang berada di bandar raya ini, dihubungi anak lelakinya memaklumkan kejadian itu.

Tindakan tertuduh merosakkan dinding milik mangsa turut disaksikan anak lelakinya dan jiran mangsa sebelum wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, tertuduh bertindak sedemikian kerana berdendam dengan bekas isterinya selepas pasangan berkenaan dikatakan ada perselisihan faham sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 11:11 AM