Bot nelayan yang ditemui. Foto ihsan APMM
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

 

SEORANG nelayan dikhuatiri lemas selepas botnya ditemui terapung di perairan Kuala Linggi, iaitu 1 kilometer dari Pantai Kuala Linggi, Alor Gajah, lebih 12 jam selepas keluar menangkap ikan semalam.

Bot fiber sepanjang 4.2 meter berwarna biru dipercayai milik Mohamad Borhan, 62, itu ditemui nelayan lain yang kemudian membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Timbalan Pengarah Operasi APMM Melaka/Negeri Sembilan (DM5) Komander Maritim Azman Samsudin berkata, bot milik mangsa ditemukan nelayan di tengah laut sebelum ditunda ke Jeti Nelayan Kampung Telok Pasir Panjang.

"Maklumat awal diperolehi, mangsa keluar ke laut pada jam 8.30 pagi semalam untuk memasang pukat.

"Selepas nelayan menemukan bot mangsa, abang mangsa kemudian menghubungi APMM menerusi panggilan telefonn membuat laporan," kata Azman, ketika dihubungi.

Menurutnya, isteri mangsa Salabiah Ariffin, 57, sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

"Justeru, kita menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jam 7 pagi ini menggunakan Pelabuhan Supain di sini sebagai pengkalan operasi," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 10:30 AM