KEUINIKAN kaktus yang menjadi simbolik Karnival Go Green and Healthy Drive antara tumpuan pengunjung di USM. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


BAGI memupuk amalan penjagaan kesihatan dan alam sekitar dalam kalangan belia, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil menganjurkan Karnival Go Green and Health Drive di Georgetown, hari ini.

Karnival disertai lebih 300 pengunjung itu dianjurkan sekumpulan penuntut Pusat Pengajian Perniagaan di bawah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Bendahari Projek, A Nanthini, 26, berkata, karnival julung kali diadakan itu antara program khidmat masyarakat dijalankan bersama Pusat Dalam Komuniti (PDK) di Pulau Pinang sejak 2016.

Katanya, pelbagai aktiviti dijalankan bersama PDK sejak tahun lalu terutama bagi memasarkan produk direka bentuk dan dijual pelajar pusat berkenaan.

"Sebagai tanda sokongan, kami turut menyediakan platform stor dalam talian menerusi carian 'PDK.Store' bagi memudahkan PDK mempromosi, mempamer dan menjual produk mereka.

"Stor dalam talian itu memaparkan produk yang dihasilkan pelajar PDK dengan paparan harga serta kuantiti bagi memudahkan orang ramai membeli secara maya," katanya.


AZLAN (kanan) menyiram kaktus sebagai simbolik perasmian Karnival Go Green and Healthy Drive di USM, sambil diperhatikan Nazatul Iffah (dua kanan), Salmi (dua kiri) dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perniagaan, Dr Ooi Say Keat (kiri). FOTO Zuhainy Zulkiffli

Terdahulu, karnival berkenaan dirasmikan Dekan Pusat Pengajian Perniagaan USM, Prof Dr Azlan Amran, sekali gus melancarkan stor dalam talian terbabit.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas Pulau Pinang, Nazatul Iffah Abdullah dan Timbalan Dekan bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr Salmi Mohd Isa.

Antara aktiviti dijalankan di ruang pameran karnival itu ialah cabaran kecergasan, jualan produk PDK, ceramah alam sekitar, pengumpulan bahan kitar semula, permainan interaktif, pemeriksaan serta kempen derma darah dan lain-lain lagi.

Pulau Pinang mempunyai 22 PDK iaitu 12 daripadanya di daerah Seberang Perai Utara, empat di Seberang Perai Tengah dan masing-masing dua di Seberang Perai Selatan, Timur Laut dan Barat Daya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 3:17 PM