NURUL Shuhada Mat Shukri menunjukkan bilik tandas yang digunakan wanita terbabit untuk bersalin. Gambar kecil, Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Nurul Shuhada. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


PEKERJA stesen minyak di Baling yang menyelamatkan bayi lelaki baru lahir di dalam tandas daripada dibuang ibunya Sabtu lalu, menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hari ini.

Nurul Shuhada Mat Shukri, 25, berasal dari Kampung Teluk Sanau berkata, dia terharu apabila mendapat sijil penghargaan daripada JKM selepas menyelamatkan bayi itu.

"Saya menyelamatkan bayi itu kerana Allah SWT dan sebagai tanggungjawab di tempat kerja.

"Saya juga bersyukur bayi yang dilahirkan dalam tandas selamat dan sihat dalam penjagaan jururawat di Hospital Baling," katanya ketika ditemui selepas menerima sijil penghargaan itu, hari ini.

Sijil itu disampaikan Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Abdullah di hadapan stesen minyak terbabit.

Nurul Shuhada berkata, dia rasa puas dan gembira dapat menyelamatkan bayi lelaki itu sebelum diserahkan kepada polis.

"Saya puas dapat menyelamat bayi itu dan tidak tahu apa akan terjadi kalau ia dibuang," katanya.

Shamsul Izrin berkata, pekerja stesen minyak itu menjadi contoh yang baik kerana menyelamatkan bayi yang baru lahir dalam tandas.

Menurutnya, Nurul Shuhada juga berjaya memujuk wanita itu menyerahkan bayi terbabit yang kemudian menghilang diri.

Harian Metro Ahad lalu melaporkan bayi lelaki baru lahir ditemui dalam tandas stesen minyak di Baling yang cuba dibuang ibunya.

Bagaimanapun, bayi itu diselamatkan selepas pekerja stesen minyak itu memujuk wanita itu supaya menyerahkan bayi kepadanya.

Kejadian itu bermula selepas pelanggan stesen mengadu satu daripada tandas digunakan terlalu lama, pada 2.15 petang.

Berita berkaitan:

Drama ibu cuba buang bayi

[UPDATE] Ibu bayi dicari polis

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 8:16 PM