Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, membebas dan melepaskan lima individu daripada tuduhan melakukan rompakan bersenjata di stesen minyak di Tunjong, Kota Bharu, tahun lalu. FOTO Zaman Huri Isa.
Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


MAHKAMAH Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini, membebas dan melepaskan lima lelaki termasuk anggota polis berpangkat Lans Koperal serta remaja berusia 19 tahun daripada tuduhan melakukan rompakan bersenjata di stesen minyak di Tunjong, Kota Bharu, tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Pada alasan penghakimannya, Nazri berkata, terdapat percanggahan kenyataan antara saksi pendakwaan dan pengadu berhubung penggunaan senjata ketika rompakan oleh tertuduh pertama, kedua dan kelima.

“Selepas meneliti semua elemen termasuk hujahan, didapati juga orang kena tuduh ketiga dan keempat tidak dapat dicam dengan jelas oleh saksi pendakwaan,” katanya.

Berikutan itu, Nazri berkata, wujud kekurangan dalam pendakwaan dan lima tertuduh berkenaan dibebas serta dilepaskan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazlinawati Mohd Arshad manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Pada 18 Disember 2016, tertuduh, Mohamad Fauzi Ariffin, 26, didakwa bersama abangnya, Mohd Fairuz, 29, dan tiga yang lain, Muhammad Redza Fahmi Mohd Noor, 24, Abdul Halim Ali, 27, serta seorang remaja berusia 19 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap tuduhan melakukan rompakan bersenjata di stesen minyak di Tunjong.

Pada rompakan antara jam 12 tengah malam dan 4 pagi, 2 Oktober 2016, mereka didakwa merampas dua peti besi mengandungi wang tunai, bateri pelbagai jenis, wang syiling serta minyak pelincir.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata secara berkumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 6:11 PM