SIJIL palsu yang dikatakan dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM). FOTO Ihsan BNM
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


BANK Negara Malaysia (BNM) mengingatkan orang awam agar berwaspada mengenai aktiviti pemberi pinjaman wang haram yang menggunakan lesen palsu kononnya dikeluarkan bank pusat itu.

Sindiket berkenaan memperdayakan orang ramai kononnya mereka memberi pinjaman dan mangsa perlu membuat pembayaran awal seperti yuran pentadbiran, duti setem dan yuran guaman sebelum lesap bersama deposit berkenaan.

"Kegiatan penipuan ini dijalankan melalui laman sesawang, media sosial, panggilan telefon, SMS, e-mel atau dalam bentuk komunikasi lain.

"Bank ingin memaklumkan bahawa BNM tidak mengeluarkan lesen pemberian pinjaman wang," katanya.

Menurut kenyataan itu, BNM menggesa semua mangsa penipuan kewangan agar membuat laporan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Orang ramai dinasihatkan agar merujuk senarai institusi yang dilesenkan atau diluluskan mengikut undang-undang yang ditadbir oleh BNM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 3:33 PM