NAJIB merasmikan pameran Survival Muslim Rohingya sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017. Turut hadir Abdullah (dua kiri), Pengerusi Wasatiyyah Malaysia, Datuk Mohd Yusof Din (kiri) serta Kartunis Mohd Desa Omar (JURAGAN) (kanan). FOTO Yazit Razali
Mohd Nasif Badruddin; Fairul Asmaini Mohd Pilus; Suraya Roslan; Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan
am@hmetro.com.my


KARTUN menjadi medium terbaik yang mudah difahami pelbagai latar belakang masyarakat untuk merangsang naluri keinsanan mengenai kesengsaraan dihadapi Muslim Rohingya.

Tampil dengan kreativiti unik, Pameran Karikatur Survival Muslim Rohingya yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini berjaya menarik perhatian ramai untuk berkongsi kesedihan dialami etnik minoriti di Myanmar itu.

Pameran anjuran Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) dengan kerjasama Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) serta Kelab Kartunis Malaysia (KKM) selama lima hari bermula kelmarin itu diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Pameran terbahagi kepada empat segmen iaitu Kesengsaraan Muslim Rohingya, Karikatur Kartunis Dunia, Inisiatif Malaysia dan Perdana Menteri Bersama IWM Dalam Menggerakkan Pendekatan Wasatiyyah.

Pengerusi IWM, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin berkata, pameran itu bertujuan menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan Perdana Menteri serta kerajaan terhadap isu Rohingya yang berkaitan dengan kemanusiaan sejagat.

Beliau yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri berkata, 100 karya tempatan dan antarabangsa dipamerkan dalam pameran edisi ketiga sempena PAU selepas mengangkat tema Palestin serta Wasatiyyah dan Perjuangan sebelum ini.

Katanya, menerusi pameran itu, rakyat di negara ini diharap dapat menghargai nikmat keamanan yang wujud hasil daripada pengamalan pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan yang menjadi pemangkin kehidupan harmoni, sekali gus menghindari pemikiran radikal dan ekstrem.

“Orang yang membaca atau melihat kartun diilhamkan kartunis boleh difahami dengan mudah di seluruh dunia walaupun bahasa berbeza.

“Dengan menatap gambar kartun ini orang akan merasai bagaimana kepedihan Muslim Rohingya itu,” katanya.

Hadir sama Pengarah IWM Datuk Mohd Yusof Din dan Presiden KKM Mohd Desa Omar atau Juragan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 2:58 PM