Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

Kota Bharu: Minat mendalam terhadap haiwan sejak kecil mendorong seorang lelaki menjadi penangkap ular secara sukarela di sekitar negeri ini sejak tahun lalu.

Biarpun perlu berdepan dengan reptilia berbisa yang mampu meragut nyawanya, Mohamad Saifullah Omar, 27, tidak gentar, sebaliknya menganggap ia sebahagian tanggungjawabnya sebagai pencinta haiwan dan membantu masyarakat setempat.

Lebih istimewa, dia yang bertugas sebagai Setiausaha Kerja Persatuan Kelab Belia Malaysia Kelantan melakukan aktiviti itu tanpa bantuan peralatan khas, sebaliknya menggunakan tangan saja.

Dakwanya, dengan kecekapannya, dia dapat menundukkan ular dan menangkapnya dalam tempoh setengah jam.

Semua dilakukan tanpa mengharapkan bayaran dan penghargaan meskipun ada orang mengelarnya gila kerana mendekati haiwan berbisa tanpa alat keselamatan.

Mohamad Saifullah berkata, taktik menangkap reptilia seperti tedung selar dipelajari hasil daripada pengalamannya memelihara ular selain orang terdekat.


AKSI Saifullah yang tular di laman sosial.

“Saya cuba belajar sendiri untuk memahami dan mengenali sifat ular, selain belajar ilmu menangkap ular daripada abang angkat dikenali sebagai Bro Dean.

“Bermula daripada situ, saya mula berjinak-jinak membantu jiran menangkap ular di kawasan berhampiran.

“Yang penting teknik kena betul, termasuk pandai ‘memujuk’ dan tidak membuatkan ia rasa terancam. Insya-Allah semuanya akan selamat.

“Saya tidak amalkan apa-apa bacaan tertentu, cuma setiap kali keluar untuk menangkap ular, saya akan dapatkan restu daripada ibu bapa untuk doakan saya selamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bahagia, Pengkalan Chepa di sini.

Menurutnya, dia pernah dipatuk ular sekali, namun sempat mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

Katanya, perkhidmatan menangkap ular itu disediakan secara percuma kerana minatnya yang mendalam terhadap reptilia itu.

“Saya tidak sampai hati lihat haiwan berbisa sering kali dibunuh. Kebiasaannya ular yang ditangkap akan disimpan di rumah saya selama sehari sebelum dilepaskan ke habitat asal atau diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 11:19 AM