Mazlan (kiri) menunjukkan gambar fotofit suspek kes samun yang dipegang oleh Shafien (kanan). FOTO Roslin Mat Tahir
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


POLIS memburu tiga penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis kononnya mahu mencari suspek sebelum bertindak menggari dan menyamun keluarga seorang ahli perniagaan di Seksyen 7, Shah Alam, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 pagi itu, mangsa terdiri daripada bapa dan tiga anaknya berusia 20 hingga 50-an sedang tidur di rumah berkenaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, tiga lelaki yang berpakaian biasa berusia lingkungan 30-an bertindak mengetuk pintu dan mendakwa mahu menjalankan pemeriksaan.

"Mereka kemudian dikatakan menggeledah rumah itu dan seorang daripadanya turut mengacukan sepucuk pistol ke arah mangsa.

"Semua suspek bertindak menggari semua empat beranak itu sebelum melarikan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat.

Mazlan berkata, bertindak atas hasil maklumat, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan pada jam 7.13 pagi.

"Ketika anggota polis tiba di rumah itu, pemeriksaan mendapati semua mangsa masih dalam keadaan bergari, namun tidak mengalami kecederaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati penjenayah itu turut melarikan kereta jenis Honda Insight milik mangsa selain sebuah komputer riba, barang kemas dan beberapa telefon bimbit.

“Nilai keseluruhan barangan itu masih dalam siasatan dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata," katanya memaklumkan pihaknya sudah memperoleh fotofit suspek.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222 untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 4:50 PM