Kamarudin (tengah) bersama pegawai JSJN Bukit Aman dan STING menunjukkan dadah serta wang tunai yang dirampas. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) menumpaskan tujuh sindiket pengedaran dadah antarabangsa menerusi enam serbuan di sekitar Johor dan Kuala Lumpur dengan nilai rampasan keseluruhan RM1.8 juta pada Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, serbuan 8.30 hingga 10.30 malam itu membabitkan tangkapan tujuh warga tempatan berusia 26 hingga 52 tahun.

Katanya, rampasan terbabit termasuk dua lokasi penyimpanan dadah di Mount Austin dan Dato' Onn di Johor.

"Rampasan membabitkan 8.2 kilogram dadah disyaki syabu, heroin (1.5 kg), ketamin (605 gram), 2,205 biji pil khayal, 1,101 pil disyaki Eramin 5 dan 3,950 biji pil disyaki ekstasi bernilai RM900,000.

"Turut dirampas wang tunai bernilai RM144,756, pelbagai jenis barang kemas bernilai RM40,777 dan tujuh kenderaan (RM730,000) dengan jumlah sitaan RM915,533," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Katanya, semua tangkapan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kejayaan itu juga hasil kerjasama yang erat antara JSJN dengan Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik (PNSB) Thailand dan Pusat Biro Narkotik Singapura (CNB).

"Pembabitan kedua-dua agensi antarabangsa itu dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah rentas sempadan," katanya.

Beliau berkata, dadah itu untuk kegunaan tempatan dan berkemungkinan dieksport keluar negara.

Menurutnya, turut dirampas wang seperti RM1 dan RM5 berkemungkinan transaksi jualan kepada pelanggan dalam jumlah kecil.

Sementara itu katanya, sepanjang Januari hingga 3 Disember ini, seramai 15,393 orang berjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

"Ia membabitkan mengedar seramai 2,590 orang, memiliki dadah (4,687 orang), penagih (8,116 orang), Langkah-Langkah Pencegahan Khas (89 orang).

"Ia membabitkan dadah seberat 1.91 kilogram dengan nilai rampasan dadah RM57.86 juta dan nilai sitaan RM18.87 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 3:27 PM