Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gua Musang hari ini terhadap tuduhan menyebabkan kematian dua rakan sekerjanya, bulan lalu. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


PEKERJA lombong warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gua Musang, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kematian dua rakan sekerjanya, bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan terhadap Khan Amjad Ali, 21, selepas dia tidak memahami pertuduhan.

Majistret Mohd Rosly Mohamed Nawi menetapkan 10 Januari depan untuk mendapatkan jurubahasa Urdu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Saleem Shah dan Mohammad Younus Ali dengan menekan suis ketika dua mangsa itu masih berada di dalam mesin pemecah batu di Lombong Bijih Besi Aring 05, Gua Musang pada 8 pagi, 13 November 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Harian Metro pada 15 November lalu melaporkan dua pekerja lombong warga asing ditemui maut dalam keadaan berlipat selepas tersepit dalam mesin basuh batu di tapak lombong bijih besi.

Siasatan awal mendapati ketika kejadian, dua mangsa itu dipercayai membaiki bilah palong cuci batu sebelum diarahkan keluar.

Belum sempat mangsa keluar, pekerja lain membuka suis mesin itu mengakibatkan mangsa tersepit dan maut di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 1:16 PM