ANGGOTA bomba mengangkat mayat yang dijumpai selepas usaha pencarian dekat Pulau Wun.
HM Digital

Kapit: Pencarian lebih 36 jam dua pekerja balak yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari perahu di Sungai Baleh berhampiran Nanga Antalawan, berakhir duka apabila mereka ditemui lemas, semalam.

Mayat Gomes Hillary Jugah, 35, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) jam 11.20 pagi manakala Tang Choo Yew, 33, ditemui jam 1.26 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kapit Deputi Superintendan Freddy Bian berkata, mayat pertama ditemui terapung di kawasan Pulau Wun yang terletak dua jam perjalanan dari lokasi perahu berkenaan karam oleh sekumpulan pekerja syarikat balak yang turut terbabit dalam SAR.

Menurutnya, mayat Choo Yew ditemui penduduk kampung di kawasan tebing Sungai Baleh berhampiran Sempilih tersangkut pada kayu hanyut.

“Pasukan polis dan bomba yang menjalankan SAR kemudian dipanggil ke lokasi berkenaan untuk mengangkat mayat berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Kapit bagi proses bedah siasat dan pengecaman.

“Keadaan air Sungai Baleh yang deras kerana hujan di kawasan Hulu Baleh menyebabkan mayat ditemui jauh dari lokasi perahu berkenaan karam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 9:12 AM