ANTARA mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Pasir Mas, semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


JUMLAH mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan terus menurun kepada 13,113 orang setakat 6 petang, hari ini berbanding 13,390 orang pada 3 petang tadi.

Semua mangsa membabitkan 5,222 keluarga ditempatkan di 63 PPS di Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Tumpat dan Gua Musang.

Beberapa PPS mencatatkan penurunan mangsa banjir termasuk di Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu dan Tanah Merah.

Bagaimanapun, berdasarkan portal eBanjir Kelantan, berlaku pertambahan mangsa di Gua Musang iaitu 117 orang yang ditempatkan di tiga PPS berbanding 47 orang, 3 petang tadi.

Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 9,325 orang membabitkan 3,971 keluarga yang ditempatkan di 39 PPS.

Ini diikuti Tumpat yang merekodkan jumlah mangsa 2,556 orang, Kota Bharu (185), Pasir Puteh (828) dan Tanah Merah (102).

Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 10.26 meter (m).

Manakala Sungai Galas meningkat ke paras amaran 35.35 m berbanding 34.81 m sebelum ini.

Sementara itu 20 jalan masih ditutup kepada kenderaan termasuk 14 daripadanya di Pasir Mas.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 8:05 PM