KAMPUNG Limau Kasturi, Gua Musang yang terletak di pinggir Sungai Galas dilanda banjir sejak malam tadi. FOTO Ramli Ibrahim
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


JUMLAH mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan menurun sedikit kepada 13,390 orang setatak 3 petang, hari ini berbanding 14,335 orang 9 pagi tadi.

Jumlah itu membabitkan 5,345 keluarga yang ditempatkan di 61 PPS di Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Tumpat dan Gua Musang.

Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 9,622 orang namun menurun sedikit berbanding

10,770 orang pagi tadi.

Tumpat turut merekodkan 2,589 mangsa banjir ditempatkan di tujuh PPS dan dijangka jumlah ini akan bertambah berikutan hujan sejak malam tadi.

Daerah lain adalah Kota Bharu membabitkan 194 mangsa, Pasir Puteh (828), Gua Musang (47) dan Tanah Merah (110).

Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 10.26 meter (m) manakala Sungai Galas (34.81m), Sungai Lebir (27.24 m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (21.51m) dan Sungai Golok di Jenob (21.57 m) menurun kepada paras berjaga-jaga berbanding di paras amaran pagi tadi.

Sementara itu 20 jalan masih ditutup kepada kenderaan termasuk 14 daripadanya di Pasir Mas.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 3:53 PM