KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron (empat dari kiri) mengetuai perarakan bersama barisan exco Kerajaan negeri dan Ketua-Ketua jabatan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri bermula dari Stadium Hang Tuah dan berakhir di Dataran Pusat Islam, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Bukit Palah. FOTO Khairunisah Lokman
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


LEBIH 7,000 peserta daripada pelbagai agensi di Melaka, mengambil bahagian dalam Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul 1439H/2017M, yang berlangsung di Stadium Hang Tuah, Melaka pagi ini.

Peserta yang terdiri daripada 3,386 kakitangan awam dan swasta, 3,437 ahli pertubuhan dan persatuan, 405 dari institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah menengah serta 40 dari sekolah rendah, itu berkumpul di Stadium Hang Tuah sejak 6 pagi.

Mereka kemudian berarak ke Dataran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Jalan Bukit Palah, di sini untuk meneruskan aktiviti seterusnya.

Bertemakan "Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara", Ketua Menteri Datuk Seri Idris Harun ketika berucap menyeru umat Islam untuk terus menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik, kerana di barat sendiri memperaku junjungan besar itu sebagai individu paling berpengaruh di dunia biarpun sudah wafat.

Menurut Idris, sejak al Quran diturunkan 1,400 tahun dahulu, perpaduan dan persaudaraan ditekankan dan hal sama seharusnya diteruskan hingga kini.

"Saya yakin dan percaya kerjasama, jalinan persaudaraan serta gabungan padu dan erat semua pihak mampu memantapkan usaha mendaulatkan Islam sebagai agama terunggul," katanya ketika berucap.

Idris dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah, mengetuai perarakan sejauh kira-kira 5 kilometer dari Stadium Hang Tuah ke MAIM.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Othman Muhamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Naim Abu Bakar, Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Yaakub Md Amin serta barisan Exco dan Timbalan Exco kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 10:45 AM