PEKERJA kilang warga asing yang diberkas dalam operasi dilakukan Jabatan Imigresen Selangor di Cheras Jaya, kelmarin. FOTO NSTP
Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


Serdang: Operator pengeluaran membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) hanya dibenarkan bekerja pada syif malam bagi mengelak diserbu pihak berkuasa.

Itu modus operandi tiga pemilik kilang terletak di Cheras Jaya di sini, yang menggajikan beratus pendatang haram sebagai pekerja syarikat masing-masing.

Bagaimanapun kegiatan itu dibongkar susulan risikan dan intipan sepasukan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) Selangor sebelum serbuan dilakukan serentak jam 11 malam kelmarin.

Pengarah JIM Selangor, Omran Omar berkata, seramai 132 warga asing ditahan dan diperiksa dalam serbuan berkenaan.

“Hasilnya 54 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Semua yang ditahan membabitkan warga Bangladesh, Indonesia, Nepal, India, Sri Lanka, Kemboja dan Myanmar. Ia merangkumi tujuh wanita dan 47 lelaki berusia 20 hingga 54 tahun,” katanya.


PEKERJA kilang warga asing yang diberkas dalam operasi dilakukan Jabatan Imigresen Selangor di Cheras Jaya, kelmarin. FOTO NSTP

Menurutnya, risikan mendapati semua pekerja asing itu hanya bertugas pada waktu malam berikutan majikan bimbang sekiranya tindakan mereka mengambil PATI sebagai pekerja kilang dikesan pihak berkuasa.

“Malah kami percaya pemilik kilang sanggup mengambil risiko berikutan semua PATI itu dibayar gaji murah.

“Malah pemilik kilang turut menyediakan asrama bagi kegunaan pekerja PATI yang diambil itu,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan diambil tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka kemudian dibawa ke pejabat penguatkuasa JIM Selangor di Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 6:25 AM