TAUFIK Ali (kanan) didenda oleh Mahkamah Majistret Alor Setar selepas mengaku bersalah menyimpan rokok seludup. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


PENIAGA runcit didenda RM18,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki dan menyimpan 59 karton rokok seludup pelbagai jenis di kedainya, tahun lalu.

Tertuduh, Taufik Ali Abdul Latiff, 32, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan oleh Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Noor Farah Hazwani turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan 12 bulan jika gagal membayar denda itu selain 59 karton rokok dilucut hak kepada pendakwaan. Taufik Ali membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan lelaki itu didakwa memiliki dan menyimpan 59 karton rokok bernilai RM1,598.82 yang dilarang import mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 di kedai runcit di Jalan Teluk Wan Jah pada 16 Disember 2016.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota JKDM Perlis diketuai Penguasa Kastam Mohd Nizar Ismail melakukan pemeriksaan di premis kedai runcit terbabit dan menemui sejumlah rokok disyaki belum lulus kastam.

Semua rokok itu disita manakala tertuduh ditahan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 atas kesalahan memiliki, menyimpan dan menyembunyikan barangan dilarang pengimportannya.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Kangar dan siasatan mendapati semua rokok itu tiada label setem cukai dan tertuduh mengaku menjualnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (iii) (aa) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis, Azmadi Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Saidina Khatijah Zaharah Khairunisak Mohd Noor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 9:43 PM