KAWASAN sekitar Pasir Mas yang dilanda banjir. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hemtro.com.my


JUMLAH mangsa banjir di Kelantan kembali meningkat kepada 13,111 mangsa sehingga 6 petang, hari ini berbanding 12,783 orang, 2 petang tadi kerana pertambahan mangsa di daerah Pasir Mas.

Ia membabitkan 5,118 keluarga yang ditempatkan di 63 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah.

Berdasarkan portal ebanjir Kelantan, daerah Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi seramai 10,159 orang daripada 4,184 keluarga yang ditempatkan di 42 PPS.

Daerah yang pulih daripada banjir antaranya Jeli, Bachok, Machang dan Kuala Krai.

Mangsa banjir di Tumpat seramai 1,473 orang, Pasir Puteh (821), Kota Bharu (487) dan Tanah Merah (171).

Sementara itu, paras air Sungai Golok sedikit menurun kepada 10.37 meter (m) berbanding 10.45 meter (m).

Manakala, enam sungai utama yang lain berada di paras normal iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Tangga Krai, Jambatan Guillemard dan Tambatan Diraja, Sungai Golok di Jenob serta Sungai Semerak di Pasir Puteh.

Sebanyak 21 jalan ditutup kepada kenderaan termasuk 15 di Pasir Mas.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 8:44 PM