Zauyah (kanan) bersama emaknya, Fatimah mengemas beg pakaian mereka di PPS ekoran keadaan air naik terlalu cepat di Kampung Ana. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mohamad Zulhairie Manzaidi

am@hmetro com.my

"KAKI saya jadi lemah apabila terkena air. Nasib baik ada abang bomba tolong kami," kata Zauyah Deraman, 24, yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat fizikal.

Dia yang tinggal berdua dengan ibunya Fatimah Yusof, 70, di Kampung Ana, Tumpat diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) apabila rumah mereka dinaiki air, semalam.

Fizikalnya yang tidak sempurna menyebabkan Zauyah tidak dapat bergerak cergas malah, tidak kuat untuk memimpin ibunya mengharung banjir untuk ke tempat selamat.

"Disebabkan itu saya menunggu bantuan bomba dan alhamdulillah mereka datang dan menyelamatkan kami untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan.

"Jika tidak, tak tahulah apa jadi pada kami," katanya yang mengakui setiap tahun akan tinggal di PPS apabila musim tengkujuh.

Menurutnya, kekurangan diri menyebabkan dia seboleh mungkin enggan menyusahkan orang lain apatah lagi apabila tinggal di kawasan yang dilanda banjir.

"Namun saya sukar mengelak, malah semalam pun sudah minta petugas PPS sediakan pangkin untuk saya kerana kaki saya tidak boleh dilipat. Jadi saya perlu duduk di atas," katanya yang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya.

Nur Izzah bersama bayinya berusia 31 hari. FOTO Syamsi Suhaimi

Sementara itu, Nur Izzah Nabila, 18, terpaksa berpantang di PPS sama selepas rumahnya di Kampung Teluk Jering tenggelam akibat banjir.

Dia yang baru 31 hari melahirkan bayi lelaki bimbang apabila terpaksa menaiki bot untuk ke pusat pemindahan dan mengharung banjir sedalam satu meter.

"Alhamdulillah semuanya selamat dan bayi saya juga tidak meragam. Saya bimbang lama kelamaan dia tidak selesa di sini dan harap banjir cepat surut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 4:37 PM