Mohd Rozi (empat dari kanan) berbasikal bersama anggotanya. (Gambar kecil) Mohd Rozi menyerahkan sumbangan bersama Abdul Muthalib (baju biru) kepada individu memerlukan. FOTO Amran Hamid.
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


KAWASAN Kuala Kedah akan dijadikan tumpuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar awal 2018 bagi membanteras aktiviti dadah yang berleluasa menerusi program Jihad Dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, masyarakat sering mengaitkan Kuala Kedah dengan aktiviti jenayah termasuk pengedaran serta penagihan dadah.

“Selaras dengan kesinambungan Jihad Dadah, kami akan jadikan beberapa kampung di Kuala Kedah sebagai kampung angkat untuk memudahkan lagi pembanterasan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.

“Kuala Kedah menjadi kawasan kedua selepas Pokok Sena pada program Jihad Dadah yang memasuki fasa ketiga ini. Pada fasa pertama dan kedua, kami jadikan Kampung Budi dan kawasan KEDA 13 di Pokok Sena sebagai kampung angkat kerana kedua-duanya berdepan masalah aktiviti dadah yang tinggi.

“Kini, kedua-dua kampung berkenaan boleh dikatakan 100 peratus bersih daripada aktiviti pengedaran dadah walaupun daripada segi gejala penagihan, ia masih berlaku dalam kadar kecil terutama dalam kalangan penagih tegar serta individu di bawah pengawasan polis selain Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Kayuhan Bersama Ketua Polis Daerah Kota Setar di Pasar Kuala Kedah, Alor Setar hari ini.

Katanya, pihaknya mensasarkan Jihad Dadah di Pokok Sena dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang akhir bulan depan.

“Segelintir nelayan di Kuala Kedah juga dilihat antara penyumbang kepada masalah pengedaran dan penagihan dadah di kawasan berkenaan berdasarkan tangkapan serta rampasan yang kami serta agensi lain lakukan.

“Ini kerana, di sekitar Kuala Kedah, ada jalan laut yang sering digunakan oleh nelayan serta sindiket dadah untuk mengedar dadah ke kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan program itu akan dijalankan sepanjang tiga bulan pertama tahun depan.

Sementara itu, dalam program berkenaan, Mohd Rozi serta anggota IPD Kota Setar melakukan kayuhan basikal di sekitar Jalan Kuala Kedah sejauh 10 kilometer bermula jam 9 pagi.

Turut hadir Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan Datuk Abdul Muthalib Harun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 2:47 PM