MAZNAH dan Mohd Ismail bergilir-gilir menjaga Amirul Asraf.
HM Digital

Parit Buntar: Angkara motosikal dirempuh seekor babi liar dalam kejadian Oktober lalu, masa depan seorang lelaki semakin suram apabila dia kini lumpuh dan tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan.

Amirul Asraf Mohd Ismail, 31, yang dirempuh haiwan itu pada 29 Oktober lalu dirawat selama 23 hari di Hospital Taiping dan lebih menyedihkan apabila tempurung kanan kepalanyadipotong bagi mengeluarkan darah beku.

Ibunya, Maznah Mohamad, 53, berkata, anak kedua daripada tujuh beradik itu kini tidak dapat bergerak dan hanya bergantung dengan susu khas yang disalurkan melalui tiub khas yang ditebuk pada perut selain memakai lampin pakai buang.

“Berikutan kejadian itu, Amirul hanya terlantar dan tidak dapat melakukan sebarang pergerakan, malah kehidupannya tidak ubah seperti bayi dan memerlukan penjagaan rapi.

“Setiap empat jam, saya dan suami bergilir-gilir memberikannya susu khas di samping memeriksa dan menukar lampinnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Menurutnya, dia yang tidak bekerja hanya bergantung kepada pendapatan suami, Mohd Ismail Sulaiman, 58, yang bekerja di ladang sawit di sini, dengan pendapatan RM38.60 sehari.

“Dengan pendapatan harian tidak menentu berikutan keadaan cuaca yang hujan kebelakangan ini, kami pasti terkesan dalam menjaga anak yang sakit dan memerlukan perhatian sepenuh masa.

“Amirul perlu meminum susu khas berharga RM75 setin dan hanya bertahan lima hari, malah susu serta lampin pakai buang itu dibeli hasil wang sedekah saudara-mara dan rakan anak yang datang menziarahinya.

“Saya berharap ada pihak yang bersimpati tampil membantu kami,” katanya.

Mengenai kejadian menimpa anak lelakinya itu, Maznah berkata, Amirul yang bekerja melakukan pendawaian elektrik keluar dari rumah mereka di Batu 14, Kuala Kurau di sini, menunggang motosikal menuju ke pekan, jam 8.15 malam pada 29 Oktober lalu.

Menurutnya, tidak sampai satu kilometer selepas keluar dari rumah, dia dikatakan dirempuh seekor babi melintas dan menyebabkannya tercampak daripada motosikal.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia koma seminggu dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping sebelum menjalani rawatan lanjut di hospital sama selama 16 hari.

Orang ramai yang mahu membantu boleh berhubung di talian 011-36441702 atau berkunjung ke alamat 47B, Jalan Pantai, Batu 14, Kuala Kurau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 7:32 AM