Jeffrey (kiri) bertukar dokumen dengan Seng (kanan) disaksikan Dr Ith pada majlis menandatangani MoA, semalam.
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kemasukan amah dari Kemboja dijangka menjadi persaingan terbaru untuk majikan di negara ini mendapatkan khidmat pembantu rumah dengan kos lebih murah berbanding dari Indonesia.

Sebelum dibawa masuk ke Malaysia, amah Kemboja dilatih terlebih dulu dan dibekalkan dengan kamus alih bahasa bagi merapatkan jurang komunikasi antara majikan dan amah.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) Jeffrey Foo berkata, kemasukan amah Kemboja ini menjadi persaingan terbaru buat Indonesia yang ketika ini mengenakan kos mencecah RM15,000 bagi seorang pembantu rumah selain menanggung kerugian jika amah lari dari rumah.

“Kita menyasarkan 20,000 amah Kemboja dibawa masuk setahun dan kemasukan pertama dijangka Mac 2018, malah kami faham apa yang membelenggu majikan di negara ini yang tidak tahan menampung kos kemasukan amah Indonesia yang mahal selain menanggung kerugian jika mereka lari.

“Disebabkan itu, kami jangka dengan kemasukan amah dari Kemboja ini mengurangkan beban majikan di negara ini dengan kos lebih murah,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MoA) antara PAPA dan Ketua Pengarah Kementerian Buruh dan Latihan Vokasional Kemboja (MOLVT), Seng Sakda dan disaksikan Menteri Buruh Kemboja, Dr Ith Samheng di hotel di ibu negara, semalam.

Jeffrey berkata, pihaknya masih dalam perbincangan dengan MOLVT untuk menetapkan harga lebih berpatutan dan tidak membebankan majikan berbanding mengambil amah dari Indonesia.

“Majikan yang memerlukan pembantu rumah boleh memohon menerusi agensi pekerjaan terpilih untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memohon.

“Bagi memenuhi keperluan majikan beragama Islam, pihak agensi dari Kemboja memaklumkan kepada warganya yang beragama Islam untuk menjadi pembantu rumah di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, warga Kemboja yang dibawa masuk sebagai pembantu rumah perlu menghadiri kursus asas pelbagai perkara mengenai Malaysia.

“Kita bernasib baik kerajaan Kemboja bersetuju membatalkan larangan rakyatnya daripada bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia, PAPA dipilih MOLVT untuk menjaga kebajikan dan memberi perlindungan kepada amah Kemboja supaya tidak dieksploitasi majikan.

“Antara intipati MOA hari ini (semalam) adalah memastikan keselamatan amah Kemboja terjamin dengan membekalkan telefon pintar lengkap dengan aplikasi keselamatan oleh Agensi Pekerjaan Swasta (APS) kepada setiap warga Kemboja yang dibawa masuk,” katanya.

Katanya, telefon itu dilengkapi nombor telefon agensi pekerjaan, pihak berkuasa dan juga PAPA sekiranya amah memerlukan bantuan dan berada dalam kecemasan.

“Selain itu, garis panduan mengambil pembantu rumah juga diberikan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terjamin sepanjang menjadi pembantu rumah termasuk majikan wajib membuka akaun bank atas nama amah terbabit.

“Sementara jaminan bagi majikan pula, kami jangkakan mereka bekerja sekurang-kurangnya dua tahun. Jika ada masalah, majikan boleh berhubung dengan agensi pembantu rumah terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 6:41 AM