JURURAWAT Masyarakat Klinik Kesihatan Gual Periok, Nik Nur Aisah Nik Zul Azhar, 37, bersama pihak bomba dan polis meredah air menyelamatkan ibu mengandung di Kampung Kok Kiyeh, Gual Sitok, di sini. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my


DEMI tanggungjawab dan tugasnya kepada anak bangsa, jururawat sanggup meredah banjir untuk memujuk seorang ibu mengandung ke hospital selepas rumah wanita itu dinaiki air di Kampung Kok Kiyeh, Gual Sitok, Rantau Panjang.

Jururawat Masyarakat Klinik Kesihatan Gual Periok, Nik Nur Aisah Nik Zul Azhar, 37, berkata, dia terpaksa mendapatkan bantuan pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk ke rumah ibu mengandung itu, Rohani Abd Rahman, 45, yang dijangka bersalin dalam masa terdekat.

"Ibu ini memang ada dalam senarai bakal bersalin dan apabila saya hubunginya, dia masih berada di rumah walaupun jalan sudah banyak ditutup dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

"Demi keselamatannya dan bayi, saya ambil keputusan meminta bantuan pihak keselamatan untuk membawanya ke lokasi lebih selamat kerana bimbang jika berlaku tanda-tanda kelahiran, dia terperangkap.

"Lagipun sudah jadi tanggungjawab saya untuk memastikan ibu mengandung selamat walaupun ketika bencana," katanya ketika ditemui selepas membantu membawa pesakit itu ke tempat selamat.

Nik Nur Aisah berkata, jika mangsa berada di tempat selamat, senang bagi pihak penyelamat dan jururawat untuk memberi bantuan jika diperlukan.

"Walaupun ada segelintir masyarakat, tidak kiralah ibu mengandung atau pesakit lain yang degil untuk berpindah, tetapi atas rasa tanggungjawab kepada masyarakat, kami juga kena turun padang membawa mereka ke tempat selamat ketika bencana begini.

"Dalam keadaan begini, kerjasama daripada masyarakat diperlukan bagi memudahkan urusan pihak kami dan agensi keselamatan untuk membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 4:57 PM