Barangan yang dirampas daripada Geng Surya. FOTO ihsan polis
Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com.my


TUJUH ahli 'Geng Surya' yang terbabit kegiatan samun kedai serbaneka 24 jam diberkas anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, 17 November lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, kumpulan penjenayah berkenaan aktif melakukan samun dengan menggunakan senjata sejak Mei lalu.

“Tujuh lelaki ini menyamun di kedai serbaneka dengan bersenjatakan pisau sebelum melarikan wang, air minuman keras dan rokok.

“Bukan itu saja, mereka bertindak agresif dengan menetak serta memukul pekerja kedai. Ini menunjukkan kumpulan ini berbahaya dan berkemampuan menyerang jika terdapat ancaman,” katanya.

Katanya, susulan itu, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi menahan tujuh suspek berusia 17 hingga 26 tahun berkenaan.

“Pada 17 November, polis berjaya menahan tujuh ahli kumpulan itu selain seorang warga Bangladesh yang sering membeli rokok hasil samun dari suspek di sekitar kawasan Cheras.

“Polis percaya kumpulan ini terbabit dengan 13 kes samun berkumpulan bersenjatakan pisau di Cheras, Wangsa Maju, Dang Wangi, Pandan Indah Ampang dan Kajang dengan anggaran kerugian sebanyak RM29,000,” katanya.

Menurutnya, hasil penahanan berkenaan, polis turut merampas Proton Saga yang dipercayai digunakan untuk aktiviti samun, pisau pemotong daging serta 36 kotak rokok pelbagai jenama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 3:10 PM