Antara PATI yang ditahan PPM Wilayah 2 malam tadi. Foto ihsan polis
Ibrahim Isa
Ibrahim@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Pengerang, Johor, menahan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika cuba masuk dan keluar dari negara ini dalam dua serbuan berasingan di hutan berhampiran pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, Kota Tinggi, malam tadi.

Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, tangkapan dilakukan hasil serbuan Ops Landai dan Ops Pensura yang dilakukan lapan anggotanya di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pada 11.30 malam ketika melakukan operasi itu pihaknya mengesan empat lelaki bersembunyi di dalam hutan berkenaan.

"Hasil siasatan, mereka mengakui menunggu bot untuk pulang ke negara asal menggunakan laluan tidak diwartakan.

"Sejam kemudian, pasukan kami melakukan rondaan di kawasan berhampiran sebelum mengesan empat lelaki dan empat wanita bersembunyi di dalam hutan.

"Hasil siasatan, mereka mengakui baru tiba ke negara ini menggunakan bot pancung dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua PATI lingkungan 30-an hingga 60-an itu ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah; tinggal melebihi masa ditetapkan dan cuba masuk atau keluar dari negara ini menggunakan jalan tidak diwartakan.

Berikutan itu, katanya, PPM akan menggandakan operasi bagi membanteras tindakan tidak bertanggungjawab menyeludup pendatang menggunakan jalan laut.

Pada masa sama, katanya, PPM mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat bagi membolehkan mereka mengambil tindakan dengan lebih berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 1:22 PM