Faliq Lajim
am@hmetro.com.my

Klang: Usia motosikal MBX 125 keluaran 1983 sudah 34 tahun namun sehingga hari ini ia masih mempunyai peminat yang tersendiri.

Keunikan motosikal itu berjaya menarik perhatian 14 rakan sekampung yang menjadikan jentera dua roda itu sebagai hobi mereka.

Walaupun alat gantinya sukar diperoleh berikutan usianya itu namun ia tidak menghalang mereka untuk memilikinya.

Bagi pemilik motosikal itu dari Kampung Sungai Serdang, dekat sini, mereka tidak kisah meskipun terpaksa mengeluarkan modal besar untuk membaiki dan menjadikan motosikal itu kelihatan cantik serta menarik.

Pemilik motosikal itu merangkap Presiden Kelab MBX Tebuan, Abdul Razak Selamat, 44, berkata, hampir tiga tahun dia dan 13 rakan lain memiliki motosikal jenama itu.

“Pada satu hari saya bersama rakan lain duduk di kedai makan dan kemudian datang seorang lagi rakan kami dengan menunggang motosikal MBX 125.

“Waktu itu, kami semua terpegun dengan kecantikan dan keunikan model berkenaan. Dari situlah kami mula mencari motosikal jenis itu dan mula menubuhkan kelab kami pada 2014,” katanya.

Menurutnya, dia sudah berbelanja lebih RM13,000 untuk motosikal berkenaan termasuk membeli motosikal itu yang berharga RM6,000 pada 2014 dan tidak kisah berbuat demikian demi minat dan hobi.


AHLI Kelab MBX Tebuan, Sungai Serdang bersama motosikal masing-masing.

Rakannya, Shuib Kassim, 42, berkata, dia membeli motosikal berkenaan pada harga RM13,000 malah perlu menambah lagi RM3,000 untuk membeli alat ganti motosikal itu.

“Saya membeli motosikal itu pada 2014 secara dalam talian. Motosikal jenis Honda itu adalah salah satu model lama yang agak sukar dilihat berbanding jenama lain.

“Alat gantinya juga sukar untuk dicari berbanding motosikal lama lain, malah ada antaranya perlu dibeli di luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pemilik MBX 125 Zulkifli Mohamed, 47, berkata, dia dan rakannya kerap mengadakan aktiviti berkonvoi dengan motosikal itu.

“Seluruh Semenanjung sudah kami jelajahi dengan motosikal itu dan ramai bertanya mengenainya.

“Ada juga yang mahu membelinya berikutan agak sukar untuk mendapatkannya lagi. Difahamkan tidak sampai 100 motosikal jenis itu ada di negara ini,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada mekanik bagi 14 motosikal berkenaan, Nordin Mohd Nasir, 44, berkata, memang agak sukar pada mulanya membaiki motosikal itu berikutan model serta alat gantinya.

“Pada awalnya saya ambil masa hampir setengah bulan bagi membaiki motosikal itu.

“Bagaimanapun, kini saya sudah mahir dengan selok belok motosikal itu dan saya berbangga diberi kepercayaan membaikinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 8:01 AM