MAHDZIR
Idris Musa
idris@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) yang tidak hanya menumpukan pencapaian akademik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata dibuat secara holistik, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia turut membabitkan tiga komponen lain iaitu Pentaksiran Bilik Darjah, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik.

Menurutnya, pembaharuan dibuat kementerian melalui pentaksiran itu mengambil kira kesan psikologi dalam kalangan murid yang tidak mencapai keputusan cemerlang.

“Kementerian Pendidikan menyedari impak yang timbul dalam kalangan anak sekolah di peringkat rendah adalah kesan psikologi di mana selama ini kita anggap kejayaan melalui UPSR secara keseluruhannya diraikan di semua peringkat.

“Ini memberi sedikit sebanyak kesan psikologi kepada mereka yang tidak mencapai apa yang diharapkan dan kesan ini berlaku sama ada secara sedar atau tidak sedar,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) berkenaan kesan psikologi dalam kalangan murid.

Beliau menegaskan, UPSR adalah ujian penilaian di peringkat sekolah rendah manakala Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) penilaian sekolah menengah rendah.

“Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) barulah peperiksaan yang sebenarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 6:54 AM