LETUSAN Gunung Agung kelihatan dari Kubu. FOTO AFP
BERNAMA

RAKYAT Malaysia di Bali yang terjejas disebabkan penutupan Lapangan Terbang Gusti Ngurah Rai, susulan letusan Gunung Agung, boleh meninggalkan kawasan itu menggunakan bas percuma disediakan dari lapangan terbang itu ke Terminal Bas Mengwi.

Wisma Putra dalam kenyataan malam tadi berkata, perjalanan dari lapangan terbang itu ke terminal bas berkenaan mengambil masa satu jam.

Beberapa perkhidmatan bas disediakan dari terminal bas tersebut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya (12 jam perjalanan), Lapangan Terbang Antarabangsa Adisutjipto di Yogyakarta (18 jam perjalanan), Lapangan Terbang Blimbingsari di Banyuwangi (6 jam perjalanan) atau Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta (25 jam perjalanan).

“Sila hubungi syarikat penerbangan berkaitan untuk mendapatkan jadual dan tiket penerbangan keluar dari lapangan-lapangan terbang tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.


MAKLUMAT pembatalan penerbangan akibat letusan Gunung Agung di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Denpasar, Bali. FOTO AFP

Wisma Putra berkata, mereka boleh menghubungi Bali Tourism Board di talian +62 812 461 19889/ +62 877 554 689166 untuk mendapatkan maklumat berhubung perkhidmatan bas atau Posko Pelayanan Gunung Agung di Lapangan Terbang Gusti Ngurah Rai di talian +62 361 9351011 ext.6300.

Selain itu mereka perlu menghubungi Bali Tourism Board dan operator syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat penerbangan dan pembukaan semula lapangan terbang itu.

Susulan beberapa letusan Gunung Agung, Lapangan Terbang Gusti Ngurah Rai ditutup sejak semalam.

Untuk mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia juga boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Bali.

Berita berkaitan:

Lapangan terbang Bali tutup sampai esok

Semoga selamat pulang

22 penerbangan dibatalkan

Penerbangan pergi, keluar Bali dibatalkan

‘Demi keselamatan, saya reda’

32 penerbangan AirAsia dibatalkan

Asap setinggi 4,000 meter

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 1:21 AM