Presiden PEKIRA Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (tengah) menunjukkan memorandum selepas menghantar memorandum kepada ROS bagi mempercepatkan kelulusan pendaftaran parti berkenaan di ROS Putrajaya. Gambar Ahmad Irham Mohd Noor.
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


PARTI Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA) menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mempercepatkan kelulusan pendaftaran parti berkenaan sekali gus dapat membuat persediaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Presiden PEKIRA Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan kepada ROS pada 7 Jun lalu namun sehingga kini, tiada maklum balas diterima.

“Sebelum ini, parti pembangkang seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendapat kelulusan dalam tempoh terdekat malah, permohonan Pakatan Harapan juga sedang diproses.

“Parti pembangkang dilihat menerima layanan istimewa dan permohonan PEKIRA pula tiada sebarang maklum balas seolah-olah mereka tidak usik pun permohonan yang kami hantar,” katanya ditemui selepas menghantar memorandum kepada ROS bagi mempercepatkan urusan pendaftaran PEKIRA di Putrajaya, hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, ketika ini, parti itu dianggotai kira-kira 18,000 ahli berdaftar di seluruh negara dan beliau menjangka lebih ramai akan mendaftar di bawah PEKIRA.

“PEKIRA minta ROS supaya dapat memberi jawapan dalam tempoh dua minggu ini dan sekiranya masih tiada maklum balas, peguam kami akan mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

Menurutnya, PEKIRA turut menumpukan kepada keahlian individu yang tidak menganggotai mana-mana parti politik atau pengundi atas pagar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 4:43 PM