ZAHID (dua dari kiri) bersama Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan,Arab Saudi, Saleh Bin Abdulaziz Bin Muhammad Al Ash-Sheikh (dua dari kanan) sempena Majlis Penutup KUC ASEAN 2017.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Negara Islam ASEAN perlu bersatu bagi melindungi rantau ini daripada doktrin songsang yang memecahbelahkan fahaman pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah ini perlu bagi mengekang penyebaran dan pembentukan kumpulan pengganas baru yang cuba menyebarkan ideologi sesat mereka.

“Kita perlu bersatu dalam konteks rantau ASEAN daripada doktrin sesat dan jahat.

“Menjadi kewajipan kita untuk mengenal pasti idea, cara, keganasan melampau bagi melindungi masyarakat Islam ASEAN daripada sebarang fahaman dan pemikiran songsang mereka.

“Ini akan melindungi kita daripada sebarang tuduhan, keganasan dan prasangka buruk terhadap Islam yang disebarkan melalui media massa antarabangsa dan platform lain,” katanya pada Majlis Penutup Persidangan Khayr Ummah (KUC) ASEAN 2017 di ibu negara, semalam.

Beliau berkata, bagaimanapun ASEAN tidak boleh bersendirian bagi mencapai matlamat itu dan memerlukan kerjasama erat dengan Arab Saudi sebagai contoh negara Islam yang mengamalkan model wasatiyyah dengan baik selari dengan al-Quran dan Sunah.

“Khayr Ummah menghimpunkan ilmuwan, agamawan dan kumpulan pemikir dari Arab Saudi bagi berkongsi idea dan pengalaman untuk membina sebuah negara lebih baik.

“Bersama kita bergerak dalam memerangi keganasan dan pengganas. Ingatlah fahaman radikal sentiasa wujud dalam masyarakat. Dengan meletakkan banyak usaha ke arah itu, stigma Islamophobia boleh dipadamkan dari dunia,” katanya.

KUC ASEAN 2017 yang berakhir semalam disertai 1,200 peserta terdiri daripada ilmuwan, agamawan, pemikir, pendakwah serta mahasiswa dari pelbagai negara ASEAN serta Arab Saudi sebagai rakan penganjur.

Sebanyak 12 resolusi digariskan dalam persidangan berkenaan dengan keutamaan memerangi tindakan keganasan, pelampau agama, memelihara hak kemanusiaan serta menutup ruang mazhab sesat yang menyasarkan perpecahan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah melalui mazhab fiqh dan politik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 5:51 AM