Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman (tengah) bermenunjukkan revolver dirampas daripada suspek yang juga anggota polis. Gambar Muhd Asyraf Sawal.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


TIGA suspek yang terbabit menembak dan menyamun peniaga runcit di Kampung Jaya Gading, Kuantan, Sabtu lalu turut memeras wang seorang lelaki, kira-kira tiga jam sebelum kejadian.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, hasil soal siasat dijalankan terhadap tiga suspek, termasuk dua anggota polis, mereka menyamar sebagai anggota polis bertugas di Bukit Aman sebelum memeriksa mangsa yang menunggang motosikal, jam 2 pagi di Jalan Wong Ah Jang di sini.

“Suspek mengarahkan mangsa yang menunggang motosikal menyerahkan dokumen pengenalan diri untuk diperiksa.

“Mangsa mengaku tidak memiliki lesen memandu sebelum diugut supaya menyerahkan RM500 atau dibawa ke balai polis.

“Mangsa menyerahkan RM300 sebelum dilepaskan. Ketiga-tiga suspek kemudiannya beredar dengan menaiki Perodua Axia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Mengulas mengenai kejadian samun dan melepaskan tembakan yang dilakukan kumpulan suspek berusia 25 tahun, jam 5.30 pagi itu, Rosli berkata, seorang daripada tiga suspek masuk ke rumah mangsa bertujuan membeli 11 karton rokok.

Katanya, semasa urusan pembelian, suspek merampas semua rokok itu sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Suspek kemudiannya melepaskan tembakan menggunakan revolver yang mengenai leher mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta sama.

“Ketika kejadian, dua lagi suspek menunggu dalam kereta. Mereka dapat ditahan beberapa jam kemudian,” katanya.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Ketiga-tiganya turut positif dadah jenis methamphetamine. Hasil semakan, dua anggota terbabit bertugas sejak dua tahun lalu dan tiada sebarang masalah.

“Suspek ketiga pula bekerja sebagai buruh. Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 4:56 PM