ADUN Pasir Pinji Lee Chuan How diarah keluar dewan kerana ingkar arahan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Foto L. Manimaran
Shamsul Kamal Amarudin dan Shaarani Ismail
bhnews@bh.com.my


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Lee Chuan How diarah keluar dewan kerana ingkar arahan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk S Thangeswary hari ini.

Wakil rakyat itu diarah keluar kerana gagal mematuhi Perintah Tetap 44 (2) DUN Perak.

Chuan How turut digantung menghadiri sidang sehingga tamat persidangan petang ini.

Thangeswary berkata, Chuan How tidak menghormati dan mengikuti arahannya ketika DUN bersidang dan menimbulkan kekecohan.

Kekecohan berlaku selepas Chuan How mengusulkan supaya ADUN Slim Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dari Barisan Nasional (BN) dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan kebebasan selepas didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya ketika sesi perbahasan pada 24 November lalu.

Selepas berbalas hujah antara ADUN BN dan pembangkang selama kira-kira 30 minit, Speaker kemudian memutuskan supaya Chuan How diarahkan keluar dewan.

Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid (BN-Kamunting) turut bangun dan mengusulkan Perintah Terap 44 (3) supaya Chuan How digantung perkhidmatannya sebagai ahli dewan sehingga dewan tamat bersidang hari ini.

Usul berkenaan kemudian dipersetujui dan Chuan How kemudian diiringi Bentara Dewan untuk keluar dewan dan diikuti oleh semua ADUN pembangkang kecuali empat ADUN PAS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 2:45 PM