Suzalina Halid
am@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pendidikan bersedia duduk semeja bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi usaha pemurnian segala cadangan yang dikemukakan mengenai pendidikan prasekolah.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, melalui pertemuan itu kelak, pihaknya akan mendengar segala cadangan dikemukakan Ahmad Zahid termasuk saranan rombakan sistem pendidikan prasekolah membabitkan penyelarasan kurikulum dan sukatan pelajaran serta menetapkan had gaji minimum gurunya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan sesi taklimat untuk memberi gambaran penuh berkaitan prasekolah dan gaji guru kepada Ahmad Zahid.

“Kita akan dapatkan tarikh daripada Timbalan Perdana Menteri untuk melaksanakan perbincangan dan sesi taklimat penuh itu.

“Namun bagi pelarasan gaji guru prasekolah antara kerajaan dan swasta, ia memerlukan usaha pemurnian bagi kedua-dua pihak dan kita perlu tengok bagaimana pelarasan akan dibuat,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Berkhatan Perdana disertai 105 kanak-kanak di Hospital Kuala Nerang, Padang Terap di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, sehingga kini, terdapat 6,121 prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan 7,428 prasekolah di bawah pihak swasta dengan lesen dikeluarkan pihak kementerian.

Katanya, terdapat dua prasekolah lagi di bawah kementerian lain iaitu TADIKA Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dikelolakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta prasekolah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dikendalikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kurikulum prasekolah di peringkat kerajaan sudah selaraskan dan arahan bagi penyelarasan juga dikeluarkan kepada pihak swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid bahawa kerajaan akan merombak sistem pendidikan prasekolah di negara ini termasuk menyelaras kurikulum dan sukatan pelajaran serta menetapkan had gaji minimum gurunya.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, rombakan juga termasuk mewajibkan semua bakal guru prasekolah menghadiri kursus jangka pendek, sekurang-kurangnya tiga bulan, kerana ketika ini mereka yang diambil mengajar adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mengulas mengenainya, Mahdzir berkata, tenaga pengajar di pusat asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak sememangnya perlu berkelulusan sekurang-kurangnya diploma menjelang 2020.

“Begitu juga dengan KEMAS dan Jabatan Perpaduan, masing-masing sudah mempunyai saluran untuk memastikan setiap guru yang mengajar prasekolah perlu ada diploma.

“Di pihak kerajaan kita ada saluran untuk guru menyambung pengajian termasuk menjalani kursus ketika cuti sekolah namun saya tidak pasti untuk prasekolah swasta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 2:35 PM
Mahdzir bermesra dengan kanak-kanak yang menyertai program Khatan Perdana Peringkat Daerah Padang Terap di Hospital Kuala Nerang. Gambar Amran Hamid.