Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

PEMANDU lori, 35, yang juga suspek kelima kes penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBKP) direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Suspek diiringi pegawai SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Melaka Ayer Keroh, jam 11.30 pagi hari ini.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh Mohd Anuar Ostadi, membenarkan suspek direman bermula hari ini hingga 1 Disember.

Suspek yang memakai baju lokap kemudian dibawa beredar daripada kawasan mahkamah kira-kira setengah jam kemudian.

Terdahulu, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri di Alai, jam 5.30 petang semalam.

Lelaki itu disyaki bersubahat dengan suspek pertama untuk menjual dan menggunakan baja diperoleh dengan memalsukan dokumen.

Pemalsuan butiran itu menggunakan 23 Borang Pesanan Stokis Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau bagi membekalkan baja sebatian, urea dan NPK tambahan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 12:39 PM
Pemandu lori direman lima hari bantu siasatan kes seleweng Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBKP). Gambar Hatim Ab Manan.