NUR Jazlan (tiga dari kanan) beramah mesra dengan penduduk pada program Sarapan Bersama Rakyat.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Siasatan pasukan khas ditubuhkan Jabatan Imigresen berhubung penemuan wang tunai RM13 juta dalam dua serbuan di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah, Jumaat lalu, tertumpu sama ada ia kes terpencil atau membabitkan sindiket.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, penemuan wang tunai itu menunjukkan isu pelacuran di negara ini agak serius dan akan berleluasa jika tidak dibendung.

“Saya alu-alukan tindakan Jabatan Imigresen yang umumkan penubuhan pasukan khas untuk siasatan perkara ini lebih lanjut.

“Oleh itu, jawatankuasa penyiasatan yang khusus ini perlu untuk menyiasat perkara ini sama ada ia kes terpencil atau sindiket yang menyeluruh dan berlaku di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata, insiden itu sebenarnya satu kejayaan besar Jabatan Imigresen dalam usaha melaksanakan penguatkuasaan terutamanya dalam memberkas pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Operasi besar-besaran untuk memberkas PATI ini sudah dijalankan selama dua bulan. Tetapi dalam hal ini mereka membuktikan betapa seriusnya isu pelacuran di negara kita dan perlu dibendung.

“Kita perlu siasat jika wujud sindiket yang menggunakan PATI ini untuk hal pelacuran,” katanya selepas program bersarapan bersama rakyat di Taman Kempas di sini, semalam.

Nur Jazlan berkata, siasatan lanjut dan terperinci dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan turut membabitkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Dalam kejadian jam 1 pagi Jumaat lalu, pihak imigresen menemui wang tunai lebih RM13 juta dalam dua serbuan berasingan termasuk di sebuah hotel.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Sabah sempena Op Gegar selepas menerima maklumat berhubung pelanggaran Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (APTISOM) (Akta 670).

Hasil serbuan, anggota penguat kuasa menahan tiga lelaki tempatan dan 16 wanita warga Filipina dan China.

Pemeriksaan lanjut menemui wang tunai berjumlah lebih RM8 juta di sebuah bilik hotel. Wang tunai itu disorok di dalam kotak minuman keras.

Sebahagiannya turut ditemui di dalam laci bilik hotel dan pangsapuri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 5:56 AM