ASHIRAF (gambar kecil) lemas selepas terjun ke dalam kolam. FOTO ihsan Polis
Nasrawati Syarifuddin
hmkk@hmetro.com.my


REMAJA lelaki yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lemas ketika mandi di kolam renang di Jalan Apas, Tawau, hari ini.

Difahamkan mangsa, Ashiraf Ayub, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuhara, Tawau masih belum menduduki dua lagi kertas SPM yang berakhir minggu depan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ketika kejadian 11 pagi itu, pelajar itu dikatakan pergi ke kolam renang itu bersama ahli keluarganya.

Beliau berkata, terdapat saksi melihat Ashiraf terjun ke dalam kolam tetapi tidak timbul semula di permukaan air.

"Ahli keluarga yang menyedari kejadian melaporkannya kepada kakitangan pengurusan kolam.

"Susulan itu, kakitangan terbabit terjun ke dalam kolam sebelum menemui remaja itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di dasar kolam.

"Ibu mangsa kemudian membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan kecemasan di klinik di Balung, namun remaja itu disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan yang bertugas," katanya.

Fadil berkata, tiada unsur jenayah dalam kes ini dan punca kematian adalah disebabkan lemas.

Katanya, mangsa juga dikatakan tidak tahu berenang.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 8:43 PM