MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca buruk di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu yang dijangka berterusan hingga Rabu ini. FOTO arkib NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu yang dijangka berterusan hingga Rabu ini.

Mengikut laman web MetMalaysia yang dikemaskini 1.30 tengah hari tadi, hujan lebat dijangka berterusan di Kelantan membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang selain seluruh Terengganu.

Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran peringkat waspada bagi beberapa kawasan di Kelantan, Pahang, Johor, Kedah, Perak dan Perlis yang juga dijangka berterusan hingga Rabu ini.

Ia membabitkan Jajahan Lojing di Kelantan; Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan, Rompin, Temerloh dan Maran); Johor (Mersing dan Kota Tinggi); Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap, Sik dan Baling); Perak (Hulu Perak) dan seluruh Perlis.

Sehubungan itu, orang ramai diminta berwaspada dengan kenaikan air di kawasan tempat tinggal masing-masing berikutan dikhuatiri berlakunya banjir.

Sementara itu, MetMalaysia juga turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan Condore, Terumbu Utara dan Pulau Layang-Layang, Sabah yang dijangka berlaku sehingga esok.

Angin kencang berkenaan berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kms) dengan ombak sehingga 4.5 meter yang berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan, penangkapan ikan dan perkhidmatan feri.

Malah, bagi sekitar perairan Kelantan, Terengganu, Pahang serta Timur Johor, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama membabitkan angin kencang berkelajuan 40 hingga 50 kms dengan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku sehingga esok dan berbahaya kepada bot kecil serta semua aktiviti rekreasi laut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 6:25 PM