Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


SEBANYAK 61,057 saman trafik terhadap warga asing masih belum dijelaskan dari tempoh 2014 hingga semalam dan 37,506 daripada jumlah itu membabitkan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansur berkata, jumlah saman yang masih belum dijelaskan pemandu warga asing itu bagaimanapun diyakini dapat dikurangkan dengan pelaksanaan Op Saman Tertunggak Waraganegara Asing (OSTWA) yang dijalankan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, sejak pelaksanaan operasi itu, pihaknya mendapati sikap pemandu warga asing yang semakin baik dan memberi kerjasama dalam mematuhi undang-undang jalan raya di negara ini serta melunaskan saman yang tertunggak.

"Kita melihat ada perubahan ditunjukkan pemandu warga asing ini. Oleh sebab itu kita harap dengan OSTWA, dapat menyedarkan mereka untuk mematuhi undang-undang jalan raya di Malaysia.

"Soal membayar saman ini, bagi kami ia adalah sikap pemandu warga asing itu sendiri yang melengahkan pembayaran saman sedangkan pelbagai kaedah pembayaran disediakan.

"Mereka boleh membuat pemeriksaan dan pembayaran menerusi atas talian atau di semua cawangan trafik, malah sebagai contoh di Singapura, terdapat 900 kiosk yang disediakan untuk membayar saman," katanya ketika sidang media OSTWA kelapan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pandan, Johor Bahru.

Beliau berkata, kesalahan yang paling banyak dilakukan pemandu warga asing adalah memandu melebihi had laju yang dibenarkan.

Dari tempoh 2014 hingga semalam, sebanyak 81,708 saman direkodkan yang membabitkan warga asing di seluruh negara yang mana 50,616 saman membabitkan warga Singapura dengan pelbagai kesalahan trafik.

Sharul Othman berkata, daripada jumlah itu, 20,651 saman yang sudah dijelaskan termasuk 13,110 yang membabitkan warga Singapura.

Katanya, OSTWA sudah dilaksanakan sebanyak empat kali di Johor dan turut dijalankan di Perlis, Kedah, Kelantan dan Sarawak yang membabitkan sempadan atau pintu keluar masuk warga asing ke negara ini.

OSTWA Kelapan yang diadakan di Johor berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu membabitkan tiga lokasi iaitu R&R Pandan, R&R Gelang Patah dan Kilometer 3 Jalan Tebrau, Johor Bahru.

Operasi itu juga menjadi antara langkah persediaan kepada warga Singapura untuk menjelaskan semua saman tertunggak sebelum pelaksanaan sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) mulai Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 4:08 PM
ANGGOTA Polis Trafik menggunakan peranti khas iaitu MCOPS yang dapat menyemak saman tertunggak warga negara asing dengan pantas selain alat iCOPS yang turut digunakan mengimbas nombor pendaftaran kenderaan secara automatik, di Kawasan Rehat dan Rekreasi (R&R) EDL Pandan. FOTO Mohd Azren Jamaludin